Sebuah
kehidupan itu lahir daripada tiada kepada ada seperti kelahiran seorang bayi
yang pada awalnya tidak wujud tetapi selepas mengalami proses persenyawaan dan
juga proses kelahiran, maka wujudlah satu kehidupan baru. Sebagaimana wujudnya
alam ini, ianya wujud daripada tiada kepada ada. Walaupun kebanyakan saintis
tidak menerima konsep ini iaitu konsep yang dikenali sebagai teori Bigbang,
namun ianya tidak dapat diterima dek akal sekiranya saintis-saintis tersebut
mengatakan bahawa alam ini adalah static dan tidak berubah. Teori steady-state
ini mengatakan bahawa alam ini tidak akan berubah dan ianya telah wujud dari
awal lagi. Namun begitu, teori steady-state ini telah disangkal oleh teori
Bigbang yang mengatakan alam ini wujud daripada tiada, iaitu selepas berlakunya
letupan besar yang kemudiannya membentuk cakerawala ini.
Apa yang
menarik tentang teori ini adalah, saintis-saintis mula mengakui bahawa terdapat
satu campur tangan oleh satu kuasa luar biasa yang mengawal letupan ini. Hal
ini adalah kerana, secara logiknya sesebuah letupan itu bersifat memusnahkan
sesuatu benda. Tetapi, letupan big bang ini bukan sahaja memusnahkan sesuatu
tetapi mewujudkan sesuatu iaitu cakerawala yang ada sekarang. Seolah-olah
letupan ini telah dikawal oleh satu kuasa
yang sangat teliti dan tersusun. Saintis-saintis ateis tidak mengakui
bahawa wujudnya kuasa luar biasa iaitu Allah, namun mereka terpaksa mengakui
bahawa adalah mustahil sesuatu benda itu wujud dengan sendiri dan ianya
bukanlah satu kebetulan.
Segelintir
ahli sains yang masih mempertahankan teori steady-state ini berterusan menolak
teori big bang untuk tempoh masa yang agak lama. Namun, seorang saintis, George
Gamow telah memberi satu pandangan mengenai teori big bang ini. Beliau mengatakan
bahawa selepas berlakunya satu letupan yang besar, ruang alam semesta ini akan
menerima sisa radiasi yang tersebar secara seragam di cakerawala akibat letupan
tersebut. Bukti ini kemudiannya ditemui oleh dua orang saintis. Radiasi yang
dinamakan sebagai ‘cosmic background radiation’ ini sangat berbeza daripada
radiasi lain yang wujud di cakerawala. Ianya seakan-akan berasal dari sumber
tertentu tetapi diserap oleh seluruh cakerawala dengan keseragaman yang luar
biasa. Bukti ini mengesahkan bahawa letupan big bang berlaku pada permulaan
pembentukan cakerawala.
Sebelum
munculnya teori big bang ini, seorang saintis barat telah membuat satu
pemerhatian terhadap bintang dan mendapati bahawa bintang-bintang sedang
menjauhi kita secara konstan. Ini sangat tidak bertepatan dengan teori awal
iaitu teori steady-state. Ini membuktikan bahawa alam ini sedang mengembang dan
juga membuktikan bahawa alam ini telah diciptakan dari tiada. Ianya sangat
bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:
“ dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai Bahawa
Sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda
Yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? dan Kami jadikan dari air,
tiap-tiap benda Yang hidup? maka mengapa mereka tidak mahu beriman? “
(Al – Anbiya’ : 30)
Allah telah memaklumkan kepada
kita mengenai teori big bang sejak awal lagi ketika mana manusia masih memiliki
pengetahuan yang terhad mengenai alam semesta. Sekaligus telah menjawab
persoalan yang bermain di minda kita bahawa apakah kuasa luar biasa yang
mengawal kewujudan alam ini dan ternyata jawapannya adalah Allah s.w.t.
Walaupun pada ketika itu belum lagi wujud teknologi canggih seperti sekarang,
namun semua itu telah termaktub di dalam Al-Quran mengesahkan lagi bahawa hanya
pencipta yang mengetahui mengenai ciptaannya iaitu Allah lah pencipta segala
sesuatu.
Wallahu’alam.