Friday, August 3, 2012

Hakikat Kehidupan



                Sebuah kehidupan itu lahir daripada tiada kepada ada seperti kelahiran seorang bayi yang pada awalnya tidak wujud tetapi selepas mengalami proses persenyawaan dan juga proses kelahiran, maka wujudlah satu kehidupan baru. Sebagaimana wujudnya alam ini, ianya wujud daripada tiada kepada ada. Walaupun kebanyakan saintis tidak menerima konsep ini iaitu konsep yang dikenali sebagai teori Bigbang, namun ianya tidak dapat diterima dek akal sekiranya saintis-saintis tersebut mengatakan bahawa alam ini adalah static dan tidak berubah. Teori steady-state ini mengatakan bahawa alam ini tidak akan berubah dan ianya telah wujud dari awal lagi. Namun begitu, teori steady-state ini telah disangkal oleh teori Bigbang yang mengatakan alam ini wujud daripada tiada, iaitu selepas berlakunya letupan besar yang kemudiannya membentuk cakerawala ini.

Apa yang menarik tentang teori ini adalah, saintis-saintis mula mengakui bahawa terdapat satu campur tangan oleh satu kuasa luar biasa yang mengawal letupan ini. Hal ini adalah kerana, secara logiknya sesebuah letupan itu bersifat memusnahkan sesuatu benda. Tetapi, letupan big bang ini bukan sahaja memusnahkan sesuatu tetapi mewujudkan sesuatu iaitu cakerawala yang ada sekarang. Seolah-olah letupan ini telah dikawal oleh satu kuasa  yang sangat teliti dan tersusun. Saintis-saintis ateis tidak mengakui bahawa wujudnya kuasa luar biasa iaitu Allah, namun mereka terpaksa mengakui bahawa adalah mustahil sesuatu benda itu wujud dengan sendiri dan ianya bukanlah satu kebetulan.

Segelintir ahli sains yang masih mempertahankan teori steady-state ini berterusan menolak teori big bang untuk tempoh masa yang agak lama. Namun, seorang saintis, George Gamow telah memberi satu pandangan mengenai teori big bang ini. Beliau mengatakan bahawa selepas berlakunya satu letupan yang besar, ruang alam semesta ini akan menerima sisa radiasi yang tersebar secara seragam di cakerawala akibat letupan tersebut. Bukti ini kemudiannya ditemui oleh dua orang saintis. Radiasi yang dinamakan sebagai ‘cosmic background radiation’ ini sangat berbeza daripada radiasi lain yang wujud di cakerawala. Ianya seakan-akan berasal dari sumber tertentu tetapi diserap oleh seluruh cakerawala dengan keseragaman yang luar biasa. Bukti ini mengesahkan bahawa letupan big bang berlaku pada permulaan pembentukan cakerawala.

Sebelum munculnya teori big bang ini, seorang saintis barat telah membuat satu pemerhatian terhadap bintang dan mendapati bahawa bintang-bintang sedang menjauhi kita secara konstan. Ini sangat tidak bertepatan dengan teori awal iaitu teori steady-state. Ini membuktikan bahawa alam ini sedang mengembang dan juga membuktikan bahawa alam ini telah diciptakan dari tiada. Ianya sangat bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

“ dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai Bahawa Sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda Yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda Yang hidup? maka mengapa mereka tidak mahu beriman? “
(Al – Anbiya’ : 30)

Allah telah memaklumkan kepada kita mengenai teori big bang sejak awal lagi ketika mana manusia masih memiliki pengetahuan yang terhad mengenai alam semesta. Sekaligus telah menjawab persoalan yang bermain di minda kita bahawa apakah kuasa luar biasa yang mengawal kewujudan alam ini dan ternyata jawapannya adalah Allah s.w.t. Walaupun pada ketika itu belum lagi wujud teknologi canggih seperti sekarang, namun semua itu telah termaktub di dalam Al-Quran mengesahkan lagi bahawa hanya pencipta yang mengetahui mengenai ciptaannya iaitu Allah lah pencipta segala sesuatu.

Wallahu’alam.